Ali dan Mat merupakan pelajar sebuah sekolah berasrama di Kuala Terengganu. Mereka selalu fly ( keluar tanpa kebenaran) pada tengah malam demi mencari sekotak rokok mahupun sebungkus nasi. Pada suatu petang Khamis, ketika mereka berdua bermain bola, timbul idea Mat untuk fly pada malam itu. Disebabkan bekalan rokok Ali sudah habis, maka Ali bersetuju sahajalah untuk mengikuti Mat untuk kegiatan malam mereka. Sementara mereka melepas penat, mereka ternampak Pak Usin, jaga asrama mereka sedang membaca akhbar di pos pengawalnya, yang terletak di tepi padang bola. Mat mengajak Ali untuk bersembang dengan Pak Usin.
”Assalamualaikum Pak” Tegur Mat. Pak Usin yang sedikit terkejut, meletakkan akhbar lalu menjawab salam.
”Wa’alaikummussalam...ha kamu...ade ape ni? Nak mintak keluar ke kedai ke?” Pak Usin bertanya acuh tak acuh.
”Takde la Pak...hehe...saja nak sembang dengan Pak ni...kami tengah boring dari tadi asyik main bola je...mane la tau, kan...Pak kan dah lama keje kat sini...mesti ade cerita best-best...” Mat memulakan sembang.
”Ooo...Pak dah keje sini 14 tahun lepas dah...mase tu entah la korang dah lahir ke belum...macam-macam la kisah kelakar, pelik-pelik...biasela budak-budak asrama macam korang ni banyak kerenahnya...jadi...cerita apa yang korang nak tau?”
”Gini Pak...cerita seram ade? Yang pasal hantu...” Ali tiba-tiba menyampuk, tetapi Mat turut mengangguk setuju.
”Hantu??...wei...mana ada hantu kat asrama korang ni...line clear tau. Pak dah round tiap-tiap malam, sekor pun tak jumpa. Sampai la sekarang ni ha...”. Pak Usin melipat akhbarnya lalu mencapai kunci motosikalnya di dinding pos pengawal. ”Korang tak payah tanya pasal hantu la...diorang tak nak duduk kat asrama korang pun, sebab korang lebih hantu daripada hantu...kah kah kah! Aku pergi dulu,” Pak Usin menghidupkan motosikalnya dan berlalu dari situ.
”Eh, Pak...nanti la dulu...nak ke mana tu? Tak habis cerita lagi ni...” Mat kehairanan melihat gelagat Pak Usin yang pelik. Tiba-tiba hendak keluar, padahal pertukaran syif dengan pengawal lain akan berlaku dua jam lagi, iaitu pada pukul 8 malam.
”Aku nak balik. Aku lapar. Bini aku baru aje masak sedap-sedap. Nanti ade la Pak Aziz datang ganti aku pukul 8 nanti ya. OK...chow...”. Ali menggaru kepala melihat telatah Pak Usin yang tergesa-gesa balik, sedangkan di sebelah akhbarnya terletak sepinggan nasi ayam yang baru sedikit dijamah. Kenapa hendak balik makan, sedangkan makanan sudah tersedia di sini?
”Mesti ada yang tak kena Pak Usin nih...”Mat merungut sambil memandang kelibat Pak Usin yang sudah jauh meninggalkan mereka. Mereka berdua meninggalkan pos pengawal lalu kembali ke dorm untuk bersiap-siap ke surau.
Pukul 12.40 malam. Masa yang cukup sesuai untuk memulakan aktiviti fly mereka. Mat dan Ali berjaya menyelinap melalui lubang pada jaring besi yang sudah hampir reput berkarat. Cukup-cukup muat badan mereka sahaja. Setelah 4 tahun tinggal di asrama itu, segala ceruk tempat persembunyian mahupun lubang tikus sudah dihafal mereka. Namun, rekod mereka yang tidak pernah ditangkap warden membuktikan kepakaran mereka selama ini. Laluan paling selamat untuk melepasi pagar sekolah adalah melalui kawasan berhampiran pos pengawal, kerana di situ ketiadaan kawat besi yang merintangi pagar. Kawasan itu sangat gelap, membantu menyembunyikan kelibat mereka. Dengan berhati-hati, mereka melintasi tandas pengawal yang terletak bersebelahan pos.
Tiba-tiba...
”Hoi kamu...nak ke mana?”. Hampir gugur jantung mereka berdua disergah sebegitu rupa. Kelihatan Pak Usin duduk di posisi seperti petang tadi, kali ini dia memegang ubat asma yang berbentuk tin sedutan ( inhaler).
”Kami...kami...”Mat gugup, terlalu gelabah untuk menjawab.
”Kami sengaja datang ke sini untuk bersembang dengan Pak...macam siang tadi. ”Lancar saja Ali menjawab. Terpaksa berlakon untuk menyelamatkan diri. Mat mengangguk lemah, blur.
Pak Usin hanya tersengih. ”Oi, datang la ke sini...yang korang tercegat dalam gelap tu apahal..” Ajak Pak Usin. Mereka berdua menuju ke pos pengawal dengan langkah longlai. Hancur rancangan malam ni. Tapi, itu lebih baik daripada tertangkap ketika melompat pagar. Padahnya lagi buruk.
”Haa...toksah la kamu nak heran...hari-hari aku nampak korang panjat pagar sana tau...pandai la korang ni. Hehehe...”Pak Usin hanya tersengih memanjang. Mat dan Ali sudah pucat lesi. Mereka berdua pasrah. Kena tangkap pun, kena lah. Apa nak buat.
”Takpe. Hari ini aku baik. Aku lepaskan korang. Tapi korang kena tolong aku. Boleh?”Pak Usin menawarkan syarat.
Mat pantas menjawab, ”Tolong ape Pak? Kami sanggup melakukan apa saja...asalkan Pak lepaskan kami.”. Ali hanya terdiam kerana terlalu takut.
”Begini. Korang hanya serahkan surat ini pada pengawal yang akan datang 15 minit lagi. Suruh dia baca surat ini kuat-kuat, biar korang boleh dengar. Faham?”
Mereka berdua mengangguk lemah, namun kehairanan. Ali merasakan sesuatu tak kena pada Pak Usin. Takkan la dia sebaik ini. Setahunya, setiap pelajar yang ditangkap fly akan terus dihantar ke rumah warden yang terletak tidak jauh dari pos pengawal. Sementara itu, bau busuk yang semakin menusuk hidung membuatkan Ali hampir termuntah. Ditolehnya ke belakang, pintu tandas yang jarang digunakan itu terbuka.
”Patut la busuk pun...hampeh betui. Lain kali, tutup la dulu pintu tandas tu. Tak senonoh betul,” Ali mengeluh dalam hati
Pak Usin mengeluarkan sepucuk surat yang sudah lusuh berwarna kekuningan. Mat dan Ali memandang dengan penuh minat. Lampu kuning yang menerangi persekitaran luar pos itu tidak cukup untuk membolehkan Mat mengagak apakah surat itu, yang pastinya sebegitu penting sampaikan Pak Usin ini sendiri mahu orang lain yang menyerahkannya.
”Eh, Pak Usin...nak saya bagi pada Pak Aziz ye?” Mat bertanya.
”Bukan pada Pak Aziz...pada sorang lagi pengawal korang...apa la korang ni...takkan la tak kenal kut...hehehehe...”. Sengih Pak Usin yang memanjang menampakkan barisan gigi yang kuning berkarat.
Mat dan Ali saling berpandangan. Mana ada pengawal lain selain Pak Usin dan Pak Aziz. Pengawal barukah? Disebabkan terlalu takut, mereka tak berfikir panjang. Lantas mereka menerima surat itu daripada Pak Usin dengan seribu satu pertanyaan.
”Korang jangan curi-curi baca sendiri tau. Biar orang yang berkenaan aje yang bacakan kat korang. Kalo tak, aku kacau korang kat dorm nanti...hehehehe...”. Gaya Pak Usin tersengih yang lain macam menambahkan seram mereka berdua. Setahu mereka, Pak Usin seorang yang garang, jarang tersengih. Dah tak betul agaknya Pak Usin ni, fikir Ali.
”Woi...aku bukan tak betul la...nanti korang tau la nanti aku ni betul ke tak...err...lagi 10 minit, mangkuk hayun tu datang la. Bagi kat dia, jangan tak bagi...”. Pintas Pak Usin, tegas dan pantas.
Ali tersentak, terkejut kerana Pak Usin dapat membaca isi hatinya. Mat hanya memandang Ali dengan kehairanan. Ali tunduk menikus di belakang Mat, seakan-akan takut dengan Pak Usin ini sorang. Bagi Ali, Pak Usin malam ini sangat berbeza. Hati kecilnya merasakan sesuatu yang tidak enak akan berlaku. Namun, perasaannya dipendam sahaja. Bimbang Mat akan mengecopnya sebagai penakut.
Tiba-tiba Pak Usin melompat melintasi meja pos pengawal. Hanya tiga kali lompatan, melintasi kepala mereka berdua. Tup tup, sudah sampai ke tangga tandas. Pantas betul. Mat dan Usin tercengang melihat aksi Pak Usin. Macam gaya pendekar pula.
”Aku ada hajat ni dalam tandas ni...korang jangan intai yaa...tunggu pengawal tu sampai jumpa. Jangan balik selagi tak serahkan benda tu. Ni amanah!!” Keras sekali suara Pak Usin memberi arahan.
Mereka berdua mengangguk. Ali mencapai akhbar, lalu menutup mukanya dari melihat Pak Usin secara terus. Pintu tandas ditutup dengan ganas. Lepas itu, suasana terus sunyi.
Mereka berdua hanya menunggu sahaja kedatangan pengawal yang disebut itu. Mereka hanya terdiam, melayan perasaan masing-masing. Bunyi cengkerik dan katak yang bersahutan menjadi muzik peneman mereka. Sesekali Mat menjeling tandas yang diduduki Pak Usin sekarang. Senyap. Sunyi tanpa sebarang bunyi. Khusyuk benar Pak Usin dengan hajatnya itu. Patut la tergesa-gesa. Rupanya hendak melabur. Tapi, rasanya Pak Usin boleh bagi surat ini sendiri selepas melepas hajat, kan? Persoalan ini berlegar di fikiran Mat. Dia buntu.
Tepat 10 minit yang dijanjikan, sayup-sayup bunyi motosikal kedengaran. Bunyi mangga pintu pagar dibuka, lalu bunyi motosikal semakin jelas kedengaran menghampiri pos pengawal. Mereka berdua memandang sesama sendiri. Mereka cukup kenal dengan bunyi motor berkenaan. Mereka semakin tidak senang duduk.
Tiba-tiba, penunggang motor itu memberhentikan motornya betul-betul di tepi meja pengawal. Bersebelahan mereka berdua. Setelah penunggang itu menanggalkan helmetnya, Mat secara spontan terlompat ke belakang, manakala Ali terjatuh dari kerusi. Mereka berada dalam kejutan yang amat sangat. Apa yang pasti, penunggang atau pengawal yang dimaksudkan itu adalah Pak Usin sendiri!!
Pak Usin yang baru datang ini tercegat kehairanan melihat kehadiran mereka berdua di pos pengawal ini. Sambil meletakkan bekalan makanannya di atas meja, Pak Usin berkata,
”Laa...korang ni apehal datang sini...kan aku dah cakap petang tadi, takde hantu kat sini...aku malas la nak sembang pasal ni...hah, aku bawakan cucur udang ni. Jom makan sekali.”
Mat dan Ali tercegat, terdiam seribu bahasa di penjuru pos. Mereka berpeluh-peluh menarik nafas yang tersekat-sekat. Mat terketar-ketar mengeluarkan surat yang diterimanya tadi, lalu dihulurkan terus pada Pak Usin yang kebingungan melihat perlakuan mereka berdua.
”Surat apa ni?” Pak Usin membuka surat itu dengan perlahan-lahan, sambil menjeling mereka berdua dengan perasaan tertanya-tanya.
” Mat...jom balik...” Kata Ali yang sudah hampir menangis.
Mat masih tercegat kaku, matanya sudah berair. ” Aku nak tau kebenaran. Kalau kau nak balik, baliklah...”Ringkas saja jawapan Mat. Kebenaran yang dimaksudkan adalah...siapa sebenarnya Pak Usin? Yang tadi atau...yang baru datang ini?
Pak Usin meneliti surat itu. Tiba-tiba, dia terketar-ketar, menjerit lalu membaling surat itu pada Mat. Dengan serentak, kedengaran ketukan yang kuat dari tandas berhampiran mereka disertai bunyi seseorang berdehem dan mengekek-ngekek. Motornya segera dihidupkan, tanpa berlengah lagi Pak Usin memecut motornya meninggalkan kawasan asrama, tanpa menutup dan mengunci pagar asrama seperti kebiasaan. Motornya ditunggang melilau ke kiri ke kanan. Nyaris-nyaris melanggar pembahagi jalan. Manakala Mat dan Ali secara serentak turut menjerit lalu berlari lintang pukang macam tidak cukup tanah. Panik mereka bukan kepalang.
Sasaran larian mereka adalah dorm mereka sendiri. Entah macam mana mereka dapat memanjat pagar asrama yang tinggi itu. Disebabkan terlalu takut dan panik, tiada apa yang mustahil bagi mereka. Hampir sekelip mata, mereka sudah berada di katil masing-masing sambil menyelubungi tubuh dengan selimut. Peluh sejuk merenik di dahi Mat. Dia masih terketar-ketar, masih lagi memegang surat tadi. Ali yang kebingungan, cuba bertenang dengan memandang ke luar tingkap. Kelihatan tangki air yang tersergam di tengah kepekatan malam, terletak bersebelahan blok asramanya. Sayup-sayup kelihatan semacam objek seakan-akan manusia...kelihatan melambai-lambai...
”Terima kasih kalian berdua...hehehe...hajat aku tadi sudah selesai...aku pergi dulu...” Sayup sayup sahaja bunyi makhluk atas tangki air tersebut. Cukup jelas bagi Ali mendengarnya. Apa yang mengejutkan, rupanya seakan-akan Pak Usin!! Tiba-tiba, ’Pak Usin’ tersebut terus ghaib begitu sahaja....Selepas itu, pandangan Ali terus gelap.
Keesokan harinya, mereka berdua disahkan demam dan kebenaran untuk mereka pulang ke kampung telah diperolehi dari warden asrama. Sementara Ali menunggu bapanya menjemputnya, dia sempat bertanyakan apakah isi kandungan surat itu kepada Mat..
”Aku pun tak tahu apa yang Pak Usin yang pertama tu tulis dalam surat dia. Jom kita baca sama-sama. Dari semalam dah aku nak baca tapi aku takut sangat...”. Lemah sahaja kata-kata Mat.
Mereka berdua membaca dengan penuh minat.
Kepada Husin Junid@ Pak Usin Jaga...
Ingat tak lagi, 14 tahun lepas...semasa bulan puasa, aku, Ramli Ngadir, telah terlihat engkau makan di siang hari di bulan puasa, seorang diri dalam pos pengawal..
Aku tak berniat nak bocorkan rahsiamu itu. Kenapa kau memukulku? Sudah lah bulan puasa. Aku tak larat. Aku pula ada asma. Kenapa kau mengurungku dalam tandas pengawalmu itu? Sesungguhnya aku sungguh azab kerana ubat asmaku tak kubawa. Sampai hati kau.
Usahlah kau lega walaupun kes kematianku ditutup pihak sekolah dan polis. Walaupun punca kematianku asma, tapi, kaulah penyebabnya.
Lepas ini, siap la kau dan keturunan kau. Pembalasan setimpal tetap menanti kau, Usin. Aku sudah lama sabar menanti setiap hari, kini tibalah masanya.........................
Setelah selesai, mereka termenung panjang. Barulah mereka tahu perkara sebenar. .Mereka berdua bergegas ke arah kereta bapa Ali yang menunggu di pekarangan asrama. Mat menumpang bersama kereta bapa Ali kerana mereka hidup berjiran di kampung. Semasa mereka berhenti singgah di pos pengawal untuk mengisi rekod keluar masuk asrama, mereka mendapati seorang jaga baru sedang bertugas di situ.
Mereka bertanyakan pasal Pak Usin kepada jaga yang baru itu.
”Pak Usin? Dia baru aje bagi surat berhenti kerja pada bos saya pagi tadi. Saya pun tak tahu apa sebab dia nak berhenti. Sebab tu la saya ditugaskan di sini menggantikan Pak Usin...”. ujar Pak So’od, jaga baru itu.
Mat dan Ali memandang sesama sendiri. Sambil Mat mengisi butir peribadinya dalam buku rekod, Ali memandang tandas yang terletak di sebelah pos pengawal semalam. Yang merupakan tempat terakhir mereka melihat ’Pak Usin’ sebelum ’dia’ membuang hajat. Kelihatan tandas itu dipaku pintunya dengan beberapa palang kayu. Juga tiada tanda-tanda ia digunakan kerana sarang labah-labah melingkari setiap palang kayu tersebut. Macam sudah terbiar bertahun tahun tanpa diusik sesiapa. Macam mana tandas itu boleh terbuka tanpa meninggalkan kesan digunakan? Kenapa tandas semalam berlainan benar dengan apa yang dilihatnya sekarang? Dan...siapakah atau apakah yang memberikan mereka surat tersebut?
Ali masih tidak dapat mencari jawapan. Ali mengeluarkan gumpalan surat kuning itu, lalu berjalan perlahan-lahan menghampiri tandas misteri itu. Lantas dia mengorek tanah, lalu menanam surat itu betul-betul di tepi tangga tandas. Kemudian dia cepat-cepat kembali ke pos pengawal. Perlakuannya tidak disedari semua yang ada di pos pengawal, kecuali Mat. Ayahnya sibuk berbual dengan jaga baru itu. Mereka kemudiannya meninggalkan asrama selama seminggu dengan persoalan yang masih lagi tidak terungkai di benak mereka.
Setelah kembali ke asrama, mereka berdua tidak lagi berani fly malam-malam. Cukuplah pengalaman sekali itu yang menyebabkan mereka terlantar demam seminggu. Bagi mereka, mujur makhluk itu tidak mengganggu mereka lagi. Urusan mereka berdua sudah selesai, amanah makhluk itu sudah dijalankan. Yang tinggal, urusan Pak Usin dengan ’klon’nya saja yang ada.
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sape klon pak usin tu..? hantu die ke..?
ReplyDeleteye...maybe la kot...
ReplyDelete