Aku menerima panggilan dari isteriku yang kini sedang berada di hospital di sebuah daerah pedalaman Pahang. Katanya, ibunya dimasukkan ke wad kecemasan kerana mengalami serangan jantung secara tiba-tiba semasa mengunjungi saudara di daerah itu. Aku yang baru saja selesai kuliah Master di universiti di Johor terus bergegas ke arah kereta. Ajakan kawan untuk melepak di kedai mamak berhampiran terpaksa kutolak dengan lembut. Lagipun minggu depan ada kuliah lagi. Lain kali, kataku pada mereka.
Isteriku dan seorang anakku bersama ibu mertuaku berada di daerah itu untuk menumpang sebentar di rumah salah seorang saudara mereka. Kebiasaanya, sengaja aku tinggalkan mereka di situ selama 2 hari supaya aku dapat meneruskan kuliah aku, kemudian aku ambil mereka pulang sekaligus semasa aku selesai kuliah pada hari Sabtu dan Ahad. Hari lain, aku bekerja sebagai guru. Isteriku aku tak izinkan bekerja. Memadailah dia membuat bisnes biskut di rumah yang menjadi hobinya sejak remaja lagi. Pendapatannya pun boleh tahan.
”Kalau boleh, cepat sikit ya bang. Hospital sini macam tak cukup kepakaran. Lagi baik kita bawak balik mak terus ke Hospital USM Kubang Kerian. Dekat dengan rumah”. Begitulah saranan isteriku. Aku mengiyakan saja dan berjanji pulang secepat mungkin untuk mengambil mereka pulang.
Selesai sembahyang Maghrib dan makan sekadarnya di restoran, aku terus memandu di lebuhraya. Lalulintas agak sibuk. Aku cuba memandu secepatnya tetapi tetap berhati-hati. Tetapi, kepenatan sehari suntuk kuliah menampakkan kesannya. Rasa mengantuk mula menyerang urat mataku. Aku sedari perkara ini, lalu berkira-kira berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat seterusnya. Silap-silap aku yang masuk hospital kalau memandu dalam keadaan mengantuk. Lebih kurang 5 minit kemudian, sampailah aku ke sebuah kawasan rehat.
Aku lantas berhenti parking tapi tidak mematikan enjin. Air cond adalah perlu untuk menyamankan aku tidur. Tapi kereta tetap kukunci dari dalam. Jenayah ada di mana-mana membuatkan aku tetap mengambil langkah berjaga-jaga . Ramai pengguna lebuh raya menjamu selera di gerai makan kawasan rehat itu. Aku kenyang lagi. Tidur saja kuperlukan. Aku memandang ke depan, kulihat seorang tua duduk bersila di tepi tangga menadah tangan meminta sedekah. Tak aku hiraukan orang tua itu. Hampir 20 minit aku tertidur, aku kembali terjaga. Hon dari sebuah bas yang memanggil penumpang yang buat kacau. Aku cuba menyambung tidur, tetapi agak sukar. Rupanya mengantukku sudah hilang. Lebih segar berbanding tadi. Kukira sudah cukup tidur yang diperlukan. Aku keluar kereta dan lantas mengerjakan solat Isyak di surau.
Sekembalinya aku ke kereta, eh, ada lagi orang tua tadi. Kali ini aku amati dirinya betul-betul. Pakaiannya sedikit bertampal tapi tetap bersih. Berjanggut panjang yang sudah putih sambil berkopiah lusuh. Sambil terkumat kamit mulutnya, tangan kanan memegang tasbih manakala tangan kiri memegang sebiji mangkuk plastik untuk menadah derma. Dia duduk di tepi tangga gerai makan. Anehnya tiada siapa pun pengunjung-pengunjung gerai yang mengendahkan orang tua itu. Perasaan kasihan terbit dalam jiwaku. Aku sudah lama kehilangan atukku. Barangkali orang tua ini sebaya arwah atukku. Aku menghampirinya dan memberi salam.
”Assalamualaikum...Tok...Tok dah makan ke? Tok nak ke mana ni?” Tanyaku ingin tahu. Aku bukanlah jenis peramah pun. Tapi aku cuba menegur sekadar apa yang patut. Dia hanya memandangku sambil tersenyum.
”Waalaikum mussalam...Tok cuma berehat sini sekejap aje cu. Tok tak makan pun tak ape. Ada rezeki derma, syukur alhamdulilah...Err..panggil aje Tok Bah”. Ringkas saja jawapannya sambil tersenyum padaku. Kulihat mangkuk plastiknya, tiada pula sebarang syiling. Rasa kesian semakin menebal.
”Panggil saya, Jali. Jom kita makan, Tok Bah...tak elok tak makan malam-malam. Nanti sakit,”. Aku memujuk lagi. Dia hanya menggelengkan kepala.
”Kalau cu nak ajak makan, ajak la lelaki itu. Dia mualaf Islam. Lapar pula tu”. Tok Bah menunjuk padaku seorang lelaki yang tidur mengerekot beralaskan kotak di tepi gerai. Lantas kukejutkan lelaki yang dimaksudkan, berbangsa India lalu kuajak dia ke gerai. Makanan yang kupesan dijamahnya dengan lahap. Aku tidak pula makan, hanya memerhatinya makan saja. Barangkali sehari dua lelaki ini tak makan. Aku hairan. Dalam ramai-ramai pengunjung leburaya, takkan tiada seorang yang tak bersimpati padanya.
Aku harus meneruskan perjalanan. Aku memberitahu mualaf itu bahawa aku mesti mengejar masa. Sempat aku bertanyakan pasal dirinya. Namanya Khalid. Baru 3 bulan memeluk Islam tapi sudah disisihkan keluarga. Dia sebatang kara sekarang. Kudermakan sedikit wang padanya untuk membeli makanan untuk esok lusa. Sambil aku berlari lari anak ke kereta, aku disapa Tok Bah.
”Cu nak ke mana sekarang?”
”Saya nak ke Kg Pinang Patah. Ada hal kecemasan malam ni. Kenapa Tok?”
”Eh, jauh jugak kampung tu dari sini. Tok ingat nak ke sana juga. Ada waris di sana. Err...boleh Tok tumpang cucu tak?”
Aku tidak berfikir panjang. Pucuk dicita, ulam mendatang. Ada juga teman untuk berborak. ”Baiklah Tok. Silakan naik. Saya seorang aja malam ni.” Aku lantas menghidupkan enjin kereta lalu melihat jam. Hampir 10 malam. Ah sudah. Aku mesti sampai sebelum pukul 12 malam. Aku bukannya jenis yang berani sangat. Biasanya aku selalu mengelak kalau disuruh memandu seorang diri, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Tapi malam ini sudah terpaksa. Ah, redah sajalah.
Aku mula memandu. Malam ini lebuh raya agak lengang. Tapi aku memandu tidaklah terlalu laju. Setakat manalah keupayaan kereta Wira 1300cc aku ni. Bau wangi, seakan-akan bau minyak kasturi yang melekat pada Tok Bah semerbak mewangi dalam keretaku. Kalah air freshner Ambi Pur yang kuselit pada dash board. Lain betul baunya kasturi ini. Lebih segar. Tak macam yang selalu aku jumpa dalam botol minyak attar pasar malam.
”Tok pernah lalu Jalan Pintasan Seluang tak? Dengar cerita jalan tu boleh shortcut ke daerah yang kita nak pergi ni. Jimat 2 jam agaknya. Nanti kita lalu jalan tu malam ni, apa pendapat Tok?” Aku cuba memancing pendapat. Manalah tahu, orang tua ada banyak pengalaman yang dapat dikongsi. Paling kurang aku dapat belajar sesuatu.
Tok Bah hanya tersenyum. ”Jalan tu bahaya sedikit. Tapi Insya allah...Tuhan akan tolong sesiapa saja yang mengasihi saudaranya, macam cucu ni...”. Aku hanya tersenyum saja. Aku lebih senang memberi sesuatu kepada mereka yang memerlukan. Akan tenang hatiku.
Mengikut perkiraanku, jika melalui jalan yang biasa kulalui, biasanya 4 jam, iaitu 2 jam lebuh raya campur jalan biasa, 2 jam. Tapi menurut kata kawanku, kalau ikut Jalan Pintasan Seluang ni 2 jam saja untuk sampai ke daerah yang kutuju, iaitu 1 jam lebuh raya dan 1 jam melalui Jalan Pintasan Seluang. Tapi dia tidak menggalakkan aku menggunakan jalan ini. Tidak pula dijelaskan padaku mengapa. Tok Bah kulihat asyik berzikir. Aku malu sendiri. Tidak banyak masa kuluangkan pada Yang Esa. Mengerjakan yang wajib semata-mata. Itu pun ada yang rongak sana sini.
Aku memasuki susur keluar lebuh raya dan membayar tol. Seterusnya memasuki simpang ke Jalan Pintasan Seluang. Malam ini kucuba juga menjadi berani. Kan dah ada seorang peneman di sebelahku. Apa nak takut. Jalannya sedikit berliku-liku, gelap gelita. Kupasang lampu tinggi. Tidak pula aku nampak sebarang kenderaan yang melalui jalan ini. Di kiri kanannya hanya dikelilingi hutan dan belukar.
”Cu teruslah memandu ya. Tok akan bagitahu tempat-tempat yang Tok tau di jalan ini. Jangan khuatir apa-apa. Takutlah hanya pada Allah, bukan makhlukNya...”. Aku mendengar saja dakwah Tok Bah. Lagipun jarang benar aku mengunjungi majlis ilmu.
Aku memandang cermin pandang belakang. Kelihatan sebuah kereta betul-betul di belakang keretaku. Bila pula kereta belakang mengejar aku? Laju betul. Dari tadi seingatku hanya keretaku saja yang menggunakan jalan ini. Namun aku tak dapat memastikan kereta apa kerana lampu hadapannya betul-betul menyuluh keretaku. Sampaikan aku pun berasa silau.
”Dia lagi...”Rungut Tok Bah.
”Siapa Tok?” Aku kehairanan. Adakah Tok Bah mengenali kereta belakang? Tok Bah tidak menjawab soalanku.
”Tak ada apa-apa. Cu teruskan pandu. Jangan pedulikan kereta belakang.”Arah Tok Bah padaku. Tiba-tiba kereta itu memotong keretaku. Secepat kilat. Kuperhatikan kereta itu sekilas pandang. Volkswagen kuning. Plat pendaftarannya...tak jelas kerana seluruh kereta itu diselaputi selut. Macam kereta rali kotornya. Kereta itu mula dipandu perlahan. Semakin perlahan. Dari tadi aku memandu 80kmj, sekarang jadi 40kmj. Aku jadi tak sabar. Sudahlah aku ada kes kecemasan. Kereta depan ni main-main pula. Aku memberi isyarat ke kanan, mahu memotong.
”Jangan potong dia, cu. Ikut saja di belakangnya.”Tok Bah bersuara pantas. Aku kaget.
”Kenapa tak boleh potong, Tok? Diorang bawak perlahan la.” Aku menyuarakan kepelikan aku dengan sikap Tok Bah.
”Jangan tanya cu. Ikut saja cakap Tok. Nanti Tok jelaskan bila cu dah sampai ke destinasi cu.”. Aku membatalkan hasratku memotong. Hampir setengah jam juga aku mengekori Volkswagen itu. Sekejap 60kmj, sekejap 40kmj, sekejap brek kecemasan, kadang-kadang berdesup meninggalkan aku. Tapi, terjumpa juga di depan. Betul-betul mencabar kesabaranku. Nasib baik Tok ada. Nasihatnya kupatuhi. Akhirnya, Volkswagen itu memecut laju. Terus hilang disebalik selekoh, langsung tak kujumpa lagi. Fuh. Lega.
Jalan di depan kuperhatikan lurus saja. Silau dari cermin sisi menandakan ada lagi kereta belakang. Baru saja aku nak memecut, Tok menegah aku.
”Kawasan ini cu tak usah memecut. Kat depan sikit tu bahaya. Pandu macam biasa. 60kmj cukuplah.”. Aku patuhi lagi nasihatnya. Kereta belakang terus mengekori dengan rapat.
”Dalam 200 meter lagi kat depan, cu bawak perlahan, pandu atas rumput tepi jalan tu. Elakkan jalan tar sekejap.
Aku memandang Tok Bah. 1001 persoalan menerjah kotak akalku. Tak pernah kujumpa pemandu arah sebegini. Hmm...aku ikut sajalah. Tiba sahaja lokasi yang dimaksudkan Tok Bah, aku terus memberi isyarat ke kiri, memandu perlahan lalu turun ke bahu jalan. Pemanduanku hanya beralaskan rumput membuatkan keretaku sedikit bergegar. Kereta belakang terus mengambil peluang memotong. Honda Civic rupanya. Baru sahaja aku hendak menyuarakan pertanyaan pada Tok Bah, kedengaran bunyi seretan tayar dari kereta yang memotongku tadi. Dari penglihatan mata kepala aku sendiri, kereta itu berpusing-pusing tanpa tujuan, sedangkan jalan itu lurus saja. DAAM!! Kereta itu melanggar penghadang jalan besi di laluan bertentangan lalu berhenti. Nampaknya hanya bahagian bonet hadapan yang remuk sedikit. Ku agak orang didalamnya tidak apa-apa. Begitulah doaku. Aku yang memandu secara perlahan di atas rumput ini sempat menyaksikan segala-galanya. Perasaan tergamamku bercampur perasaan simpati.
”Jom kita tolong mereka, ya Tok?”
”Tak payah tolong mereka. Sudah ada trak penunda di sebalik semak di tepi kita tadi. Mungkin cu tak perasan, tapi itulah kerja mereka, yang dipanggil longkai. Menuang minyak di sepanjang jalan lalu menunggu adanya kemalangan. Supaya rezeki mereka, si pemandu trak tunda dan pemilik bengkel akan berlipat ganda jika mereka buat kerja begini. Ada kereta rosak, adalah rezekit mereka. Jalan ke depan sikit, cu boleh naik ke jalan bertar semula. Mulai dari situ, dah tak ada minyak lagi.”
Jahanam betul mereka. Sanggup mencari rezeki atas air mata orang lain. Kut ya pun, dah melampau tu. Aku terus naik atas jalan yang bertar semula. Benarlah kata Tok Bah, dua buah trak penunda menghampiri kereta Honda Civic tadi. Entah dari mana datangnya, aku pun tak perasan. Berkelip-kelip lampunya. Fuh. Sepatutnya aku yang terbabas tadi. Betul-betul bernasib baik.
”Macam mana Tok tau ni? Biasa Tok jumpa kes macam ni ke?”. Aku cuba mencungkil rahsia.
”Tok dah lama hidup. Banyak makan garam daripada kamu. Tok tau la semua ni. Manusia ni rambut je hitam. Hati lain-lain. Sekilas ikan di air, Tok dah tau pasal cu ni.”
Haa? Betul ke Tok Bah ni? Dalam hatiku kadang-kadang meragui sifat orang tua ni. Yalah, terlalu misteri bagiku.
”Tak ape lah cu. Cu pandu aje macam biasa. Nanti mak mertua, anak bini cu tertunggu-tunggu kat daerah tu. Sakit jantung ni tak boleh main-main.”
Aku tersentak lagi. Ilmu apa yang dipakai Tok Bah? Aku tak bagitahu apa-apa pun tentang kecemasan aku ni. Aku kembali menumpukan perhatian jika ada sebarang kemungkinan sambil mindaku ligat menghurai bermacam persoalan.
Jalan menjadi bengkang-bengkok dan mula mendaki bukit. Kabus pula semakin menebal. Macam berjerebu. Aku ingatkan ada kebakaran hutan. Tapi tidak pula terbau asap. Aku menaikkan lampu tinggi supaya lebih jelas penglihatan malamku. Setelah sekejap mendaki, terpaksa pula menuruni bukit.
Tiba di satu selekoh tajam, muncul sebuah jengkaut merintangi jalan. Aku memang tidak perasan disebabkan terlindung oleh selekoh tadi. Panik aku. Mana mungkin pekerja pembinaan membuat kerja malam-malam. Jaraknya yang terlalu hampir memang tidak membolehkan keretaku sempat membrek, apatah lagi aku sedang menuruni bukit. Aku lantas memijak brek sekuat hati.
”Langgar aje dia...”. Dengan selamba Tok Bah menyarankan. Aku masih tidak melepaskan kakiku pada pedal brek. Berdecit-decit bunyi tayar depan bergeser dengan tar. Stereng kupulas ke kiri dan kanan, tapi tiada respon. Seolah-olah tayar depanku terkunci, tiada tindak balas. Sistem brek ABS yang sepatutnya digunakan semasa kecemasan begini tidak pula dipasang pada keretaku. Menyesal pula membeli kereta murah. Nyawaku dalam bahaya. Keretaku terus meluru terus ke arah jentera besar itu. Semakin hampir...semakin hampir...aku menutup mata.
Keretaku akhirnya berhenti. Mukaku melekat pada stereng. Aku terpaku di situ beberapa saat. Fikiranku kosong. Yang kulihat hanyalah Tok Bah, yang sedang tenang membilang tasbihnya sambil tersengih melihat keadaanku.
”Tok tak apa-apa?”. Aku dengan terketar-ketar cuba melihat kesan pelanggaran. Tok Bah hanya tersengih.
”Cuba cu tengok depan, belakang kereta kita”. Aku bingkas berpaling ke belakang. Hanya kelihatan jalur tayar yang masih berasap serta kabus tebal yang melingkari udara malam. Mana jentera tadi?
Aku cuba menyiasat lagi. Aku cuba keluar kereta. Namun ditegah berbuat demikian oleh Tok Bah.
”Jangan keluar dari kereta. Teruskan jalan sekarang. Kita dah nak sampai. Sikit lagi”.
Arahan Tok Bah itu memberi semangat kepadaku untuk segera meninggalkan jalan yang sungguh membingungkan aku ini. Segera gear kumasukkan lalu minyak ditekan dengan ganas. Hampir melelong juga kereta tapi dapat dikawal. Jalan menjadi semakin lurus, kurang berselekoh. Lampu kuning jalan juga dapat dilihat. Begitu juga rumah penduduk. Nampaknya sudah sampai hampir dengan daerah yang kutuju. Barulah lega sedikit. Berkurang juga takutku yang sejak beberapa ketika menghantui aku.
Tiba di satu simpang, Tok Bah menyuruh aku berhenti sebentar. Aku cuma perlu menuju ke hospital di pekan itu saja untuk berjumpa isteri dan ibu mertuaku dalam jarak 5 minit perjalanan lagi. Setelah berhenti, barulah aku sedar tanganku masih belum hilang gementarnya. Terketar-ketar lagi. Peluh sejuk pun memenuhi belakang bajuku.
”Lebih baik cu berehat sebentar. Pulihkan semangat cu sekarang. Nanti cu pergi ke hospital. Tempat tu tak sesuai untuk orang lemah semangat. Lagi mudarat.”
Aku menarik nafas panjang beberapa kali. Hampir 2,3 minit juga cuba bertenang. Gagal. Tanganku masih terketar-ketar lagi. Tok Bah mencapai sebotol air mineral yang terselit di celah pintu, membuka penutup botol lalu membacakan sesuatu ke dalamnya. Lantas disuakan aku untuk diminum. Aku teguk dengan pantas. Dengan cepat debaranku berkurang, perlahan-lahan aku menjadi lebih releks. Tidak lama kemudian, aku menjadi seperti sedia kala. Fikiranku kosong.
”Baiklah. Tentu cu tertanya-tanya kenapa Tok tak bagi cu potong kereta Volkswagen tadi, kan?” . Aku dengan perlahan memandang Tok Bah.
”Kereta tu sebenarnya terlibat dalam kemalangan pada 1964 di kawasan tu. Pemandunya iaitu tuan punya estet getah yang berbangsa Inggeris, mati di tempat kejadian. Tok tengok sendiri macam mana ia berlaku. Masa tu, hujan lebat. Jalan tu pula licin kerana air selut limpahan bukit memenuhi jalan. Kereta tu tidaklah dipandu laju tapi gagal dikawal. Terus terbabas, terjunam dalam gaung di kawasan tadi. Mayatnya berjaya diangkut keluar dan dihantar ke England. Tapi keretanya tetap di situ. Tiada siapa alihkan. Tapi Tok tahu kat mana ia tersadai.”
”Jadi......kereta tu....”Aku cuba membuat kesimpulan tanpa menghabiskan ayatku.
“Ya. Itu kereta berhantu. Tiada siapa yang memandunya. Maksud Tok, bukan manusia yang memandunya. Ia memang wujud. Ia pantang dipotong ketika tiba di selekoh itu. Kalau ada yang cuba memotong, habislah...”. Tok tak menghabiskan ayatnya.
”Habis macam mana Tok?”. Aku tak sabar nak tahu.
”Beberapa tahun lepas, ada sebuah kereta Wira yang berjaya potong. Tapi pemandu Wira itu terpandang bahagian pemandu Volkswagen itu. Tiada siapa yang memandunya. Hanya stereng saja yang berputar sendiri. Mungkin tergamam agaknya, kereta Wira itu terus hentam bukit di bahagian kiri jalan. Berpusing-pusing juga. Tapi pemandunya hanya cedera ringan. Nasib baik ia tak belok ke kanan. Sebab, bahagian kanan tu gaung dalam. Dekat aje dengan tempat Volkswagen itu jatuh. Pemandunya itu orangnya baik tapi tak dengar cakap Tok”
Aik? Tak dengar cakap Tok? Apa kaitan Tok dengan kemalangan tu? Aku mendiamkan diri dulu. Membiarkan Tok habis cakap.
”Dulu ada juga yang kurang ajar pada Tok. Dalam tiga orang juga. Orang panggil, mat rempit. Tok suruh diam masa surau lebuhraya tadi azan, diorang main minyak kuat-kuat di luar surau. Bingit juga. Tapi diorang maki Tok. Tok tak ambil hati pun. Diorang pun lalu jalan tadi. Siap potong Volkswagen lagi. Apa yang Tok nampak, Volkswagen tu juga yang sondol tiga-tiga orang tu masuk gaung. Dua mati, sorang aje hidup sebab sempat berpaut pada akar kayu tepi gaung. Tapi dia jadi gila pulak sampai ke hari ini.”. Fuh. Detail betul Tok Bah bercerita.
”Banyak lagi kisah Volkswagen yang boleh diceritakan. Sekarang, Tok nak jelaskan kenapa Tok suruh langgar aje jentera yang tiba-tiba tersadai di tengah selekoh tadi. Tu sebenarnya mainan syaitan aje. Sebenarnya semua tu hanya kabus. Tapi ramai yang kemalangan di tempat tu. Mereka cuba mengelak imbasan jentera itu lalu melanggar apa-apa yang di kiri atau kanannya. Tapi ada juga yang selamat, macam cucu ni. Tapi...kalau nak diikutkan, ada lagi kejadian yang biasanya berlaku. Malam ni, kita tak kena pulak. Syukurlah. Setakat dicuba dengan Volkswagen dan jentera rosak aje...”
Aku termenung. Begini rupanya mainan syaitan. Terkena aku malam ni. Aku memandang jam. Aduh. Dah lambat ni...Aku terus mengambil langkah drastik.
”Boleh tak saya tanya sikit pada Tok? Macam mana Tok boleh tau dengan terperinci
kejadian di jalan ni?”
Tok Bah hanya tersenyum. Tidak menjawab.
”Err...Ok lah Tok. Maafkan kalau saya menyinggung Tok.” Aku macam bersalah pula bertanyakan begitu pada orang yang banyak menolong aku ni. Macam terhutang nyawa.
”Cu teruskan aje ke hospital sekarang. Kita harus cepat.”
Aku terus menghala ke hospital. Tiba di sana, keluarga saudara isteriku sedang menunggu di bahagian kecemasan. Aku parking bersebelahan ambulan yang sedang dicuci oleh pemandunya. Kelihatan pemandu itu tergamam melihat aku parking kereta di sebelah ambulannya. Tapi tidak pula dimarahnya aku. Hanya memerhatikan keretaku saja. Barangkali dia mengenali Tok Bah. Dilarang parking di situ sebenarnya tapi memandangkan aku hanya berniat parking sebentar saja. Hendak meninjau keadaan mak mertuaku. Tiba saja di pintu masuk bahagian kecemasan, aku disambut salah seorang kenalanku yang bekerja di hospital itu. Kubahasakan dirinya Wan. Dia mengenali ibu mertuaku.
”Oh...ibu kau tak ada apa-apa. Hanya perlukan pengawasan doktor saja. Serangan penyakit jantung sepertinya memang biasa berlaku. Isteri kau ada di wad tadi, bersama saudaranya yang lain. ”. Aku lega mendengarnya. Tak jadi naik menjenguk. Nanti sekejap lagi, aku akan menyusul naik ke wad selepas mengalihkan parking kereta.
”Marilah aku perkenalkan kawan baru aku. Mana tahu, kalau-kalau kau pernah kenal dia”. Aku menarik tangan sahabatku itu ke arah keretaku. Eh, Tok Bah tiada di situ. Aku meninjau persekitaran hospital pula. Berpusing-pusing kepalaku. Tiada sesiapa, melainkan pemandu ambulans yang terbongkok-bongkok mencuci ambulansnya di sebelah keretaku. Aku mendekati pemandu itu.
”Assalamualaikum encik. Pernah nampak tak seorang tua yang duduk di sebelah saya tadi? Adakah encik nampak dia pergi ke mana?”.
Pemandu itu berhenti menggosok lantai ambulans. Serta merta dia memandang wajahku. Sahabatku tadi segera memperkenalkan pemandu itu padaku.
“Jali, ini Osman, pemandu ambulan syif malam kami. Sudah 20 tahun Osman bekerja di sini”. Aku dan Osman saling bersalam. Osman mengangkat keningnya pada Wan. Wan pula membalasnya dengan mengangguk, mungkin tanda bersetuju. Aku menjadi pelik dengan sikap mereka berdua. Macam bahasa komunikasi isyarat pula.
”Jali, Pak Man kenal sangat orang tua dalam kereta kamu tadi tu...namanya Tok Bah, kan?”. Aku mengangguk tapi tidak mengerti kata-kata Osman itu. Agaknya dia mengenali Tok Bah.
”Sebenarnya, Tok Bah bukanlah manusia seperti kita. Dia makhluk Tuhan juga, tapi alamnya sedikit berbeza. Dia keturunan jin, Jali. Jin Islam...sama agama dengan kita”.
”Pak Cik nak tipu saya ke ni? Tadi saya dah bersama Tok Bah dekat 3 jam. Tak ada apa pun, biasa aja...” Aku yang masih kebingungan ini cuba merungkai misteri yang cukup memeningkan ini. Lantas aku menceritakan semua kejadian yang menimpa aku tadi. Wan dan Osman berpandangan sesama sendiri, lalu mengeluh.
”Kebiasaannya, begitulah yang terjadi kepada orang yang lalu di jalan itu malam-malam. Mungkin Jali tak tahu lagi, jalan itu memang tidak dilalui orang tempatan di sini. Banyak kisahnya. Selama 20 tahun pak cik di sini, sudah banyak kejadian di kawasan itu.
Aku terduduk. Apa pun, aku dah selamat sampai sekarang. Syukurlah. Aku lantas memasuki hospital untuk berjumpa isteriku. Tentang Tok Bah, lain kali aku berharap untuk bersua dengannya lagi.
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment