Wednesday, September 2, 2009

ORIENTAL HITMAN ( CHAPTER 2)

Ketukan demi ketukan kedengaran di pintu. Aku bingkas bangun lalu mengintai di sebalik langsir. Nelayan tua tadi sedang menjinjing sebekas mangkuk tingkat berdiri di depan pintu. Aku membuka pintu lalu menyambut mangkuk tingkat itu.

”Kudin bagi nasi ini sebentar tadi,” Aku mengucapkan terima kasih padanya lalu dia pun beredar menyambung kerjanya di pangkalan itu. Kali ini dia menimba air di vesel pula. Aku mengerling jam. Sudah hampir pukul 7 malam. Aku membuka suis lampu lalu membuka mangkuk tingkat satu persatu. Ada 4 tingkat semuanya iaitu nasi, lauk ikan siakap masak pedas, sayur sawi dan sedikit buah duku. Terselit nota kecil tertulis ‘pukul 9 malam’. Tanpa berlengah aku menghabiskan makanan tersebut dengan penuh berselera. Zaman kecilku makanan seperti ini sudah dianggap terlalu mewah di Narathiwat. Setakat tidak makan sehari dua, perkara biasa kerana aku hidup hidup sebatang kara. Anak yatim yang hidup berdikari.

Lepas makan, aku cuba meninjau bahagian belakang rumah. Pintu dapur ku buka lalu kelihatan beranda kayu yang cukup luas. Di bawah, betul-betul sungai Terengganu. Boleh dikatakan hampir separuh rumah ini berada di atas air. Sungguh mendamaikan. Sesuai dijadikan tempat memancing Alangkah bagusnya jika aku memiliki rumah ini. Bukannya aku tidak mampu membeli. Lama juga aku termenung di beranda itu.

Tepat pukul 9 malam, pintu diketuk lagi. Kali ini, Kudin yang muncul bersama pemandunya. Pemandunya diarahkan menunggu sahaja di luar rumah. Kudin menghulurkan padaku sebuah briefcase. Kubuka, di dalamnya ada dua keping gambar foto. Serta sepucuk pistol Barretta 9mm beserta silencer ( aksesori yang melenyapkan bunyi bising tembakan). Foto itu menunjukkan seorang lelaki gemuk dalam dua situasi berbeza. Aku mengecam betul-betul rupa paras lelaki itu sehingga gambaran mental sudah terbentuk kukuh dalam minda. Aku mengeluarkan lighter lalu membakar kedua-dua foto itu sekaligus. Nyalaan itu kubiarkan atas jubin lantai.

”Situasinya?” Aku bertanyakan bilakah masa bertindak untuk membunuh lelaki dalam foto itu kepada Kudin. Sambil dia menyalakan rokoknya, dia membalas, ” Esok, pasar malam di Tanjung. Target kita ni, orang panggil dia Seman Kipas. Sebab bos nak bunuh dia, Man Kipas ni selalu kacau budak-budak pusher pil syarikat bos. Bulan lepas dekat RM 400 000 juga bos rugi sebab Man Kipas ni bocorkan bisnes bos kat polis. Habis bengkel pil bos di Dungun kena serbu. Nasib baik boleh cover lagi, tak kena tangkap. Dia ni, sentiasa diapit beberapa orang bawahannya. Tapi kau jangan risau. Kalau di kawasan Tanjung, biasanya dia bawa seorang saja bodyguard sebab itu kawasan dia. Safe zone kononnya. Kita akan ambil peluang itu. Shoot to kill, maknanya kasi habis terus. Make sure kau buat kerja bersih-bersih sikit.” Aku mengangguk-angguk sambil memegang pistol yang dibawa Kudin. Mengujinya serba sedikit. Pistol baru lagi. Aku meletakkannya kembali dalam briefcase.

“Aku tak nak pistol ini. Untuk esok, aku mahukan revolver 6 peluru dengan silencer. Peluru backup 1 kotak. Sebagai sampingan, aku nak selaras senapang sniper (penembak hendap). Senapang ni aku boleh tunggu lagi untuk minggu ni.” Aku memberi respon. Aku menambah lagi, ” Upah yang bos kau janjikan tu aku ingatkan lagi, USD 30 000. Ingat, US Dollar. Bukan Ringgit Malaysia.” Kudin berkerut dahi mendengar permintaan aku itu. Lantas dia menghubungi seseorang melalui telefonnya. Setelah bercakap selama 10 minit, barulah dia menyatakan persetujuannya.

”Okey, Bos setuju. Tengah malam ni aku bagi kau revolver. Sekali dengan pasukan kau. Tapi kenapa mintak revolver? Aku dah bagi kau pistol latest ni,” Kudin berasa pelik dengan cara kerja aku. Sambil tersengih aku menjawab;

”Revolver ni tak tinggalkan kelongsong peluru di tempat kejadian. Jadi aku dah kurangkan bukti untuk polis. Walaupun hanya 6 butir peluru, cukuplah sebab target baru seorang.” Ringkas saja jawapanku.

Kudin hanya tersenyum. ”Pasal upah, bos aku uruskan macam biasa. Deposit kau akan dapat malam ni. Bakinya akan di bank in lepas urusan selesai.” Selepas itu, dia pun mengemaskan briefcase. Janjinya, pukul 12 malam ini.

Setelah kupastikan Kudin beredar, aku mengelilingi rumah itu seorang diri dalam gelap dengan perlahan-lahan. Mengesan sebarang ketidaknormalan yang mungkin berlaku. Pekerjaanku menjadikan aku seorang paranoid. Tapi sifat itulah yang membolehkan aku bernafas sehingga sekarang. Perlahan-lahan aku menuruni tebing sungai lalu meniti sepanjang tiang bawah rumah. Kira-kira 3 meter juga paras air dari lantai rumah. Tiada sebarang bunyi mencurigakan dari belukar di sekitar. Hanya alunan gitar nelayan tua itu tadi kedengaran sayup-sayup dari dalam vesel. Barangkali itulah rumahnya. Setelah kupastikan tiada ancaman, aku naik semula ke rumah. Tapi kali ini aku memanjat tiang beranda pula. Sengaja aku tidak mengunci pintu dapur tadi supaya aku senang masuk melalui beranda. Segera aku membasuh seluarku yang terpalit lumpur sampai ke pinggang. Sementara menunggu pukul 12 malam, aku mengeluarkan pistolku dari celah bantal. Aku meleraikannya kepada komponen-komponen kecil lalu membersihkannya dari sebarang kekotoran.

Hampir pukul 12 malam, kedengaran bunyi hingar bingar motosikal. Aku memerhati dari jendela. Kelihatan sekumpulan penunggang motosikal berkumpul berhampiran pangkalan bot. Mereka seolah olah menunggu sesuatu. Salah seorang daripada mereka berjalan ke arah rumahku. Dialah Kudin. Aku menjemputnya masuk sambil mengambil briefcase yang dihulurkan kepadaku. Di dalamnya ada sampul surat yang penuh berisi dan sepucuk pistol revolver. Juga ada sekotak peluru.

Kudin memulakan perancangannya. ”Ini dia peta bandar Kuala Terengganu. Aku lakar jalan-jalan utama yang mengelilingi bandar.”. Kudin menerangkan aku mengenai jalan-jalan yang akan dilalui sebelum bertindak dan jalan melarikan diri. Aku bertanya padanya jalan-jalan alternatif yang mungkin ada sekiranya perancangan ini gagal. Selepas setengah jam, aku sudah faham. Kemudian dia mengajak aku berjumpa kumpulan motosikal tadi.

“Ini geng aku. Mereka setia pada bos. Penunggang kau, namanya Eddie. Malam esok, kau kena naik bersama Eddie.” Aku mengangguk sambil bersalam dengan Eddie dan 8 lagi kawannya, yang berkongsi 4 buah motosikal RXZ yang diubahsuai. Jadi, semua ada 5 motorsikal. Pada malam esok, aku hanya membonceng saja motor Eddie ini. Mereka lebih arif mencilok dalam bandar. Penting supaya aku dapat melarikan diri dengan pantas. Kudin tidak banyak bercerita kerana geng motor itu terlebih dahulu diberitahu rancangannya. Pukul 8 malam esok baru bermula. Setelah selesai, aku kembali ke rumah dan mereka bergegas meninggalkan tempat itu. Aku memasang sedikit perangkap di pintu dan tingkap yang dapat mengejutkan aku sekiranya terdapat penceroboh. Lampu aku tutup dan aku terus tidur.

Sebelum tidur, aku mengira duit dalam sampul surat. Hanya USD 5 000. Aku masukkan ke dalam beg sandang.

No comments:

Post a Comment