Wednesday, September 2, 2009

ORIENTAL HITMAN ( CHAPTER 1)

Tahun 2012, bulan November. Pukul 11 pagi. Bas bandaran SP Bumi baru sahaja selesai menurunkan para penumpang. Suasana di Stesen Bas Kuala Terengganu begitu hingar bingar dengan gelagat warganya yang berpusu-pusu menyerbu ke dalam bas yang baru dikosongkan itu. Aku sedang menunggu seseorang warga tempatan yang hanya dikenali sebagai Kudin. Sambil menunggu itu aku memerhati keadaan sekitar Bandar itu yang begitu asing bagiku. Cuba menyelami rentak kehidupan di sini.

“Wangchuk?” Tanya seorang pemuda yang tiba-tiba muncul di depanku sambil menayangkan gambarku. Aku mengamati fizikalnya. Kurus tetapi tegap dengan renungan mata yang tajam. “Aku Kudin.” Tambahnya lagi.

“Wangchuk Husin. Panggil Husin.” Aku membalas. Dengan pantas dia mengangkat bagasiku. Tetapi aku tidak membenarkannya mengangkat beg sandangku. Aku sendiri yang mahu membawanya. Aku mengekorinya ke arah sebuah kereta Wira yang ada pemandunya menunggu di bawah pokok. Aku mengambil tempat duduk belakang, bagasiku disumbat dalam but kereta. Kudin di sebelah pemandu. Aku tidak tahu dibawa ke mana. Sepanjang perjalanan hampir 15 minit itu, kami hanya membisu. Tapi aku dapat mengingati selok belok jalan yang dilalui.

Kami memasuki sebuah kawasan perindustrian, lalu tiba di sebuah bengkel kereta 2 tingkat yang agak besar. Aku mengekori Kudin ke tingkat atas. Setiap sudut bengkel itu diawasi seorang atau 2 orang pemuda. Dalam bengkel itu kelihatan beberapa kereta yang sedang dibaiki pomen tersadai di tingkat bawah. Ku bilang, 4 buah kereta pelbagai jenis. Di samping itu, beberapa buah kepala lori disusun bertingkat-tingkat di luar premis. Kamera CCTV juga ada di setiap ceruk yang hampir tersembunyi. Akhirnya aku sampai ke sebuah bilik besar yang dilengkapi peralatan pejabat. Macam bilik pengarah urusan. Seorang lelaki dalam lingkungan 40an sedang asyik menghisap paip sambil membaca akhbar. Melihat kedatangan aku, dia bingkas bangun.

”Selamat datang, Husin. Sila duduk.” Aku mencapai sebuah kerusi. Aku dijamu dengan kuih muih yang manis dan air oren olehnya. ”Silakan makan dulu. Kau tentu penat berjalan jauh.” Lelaki itu mempelawa aku makan dan aku tidak menolaknya kerana aku sememangnya lapar.

”Nama aku, Jais Besi. Kau tengoklah sendiri bengkel aku ni. Maju bukan? Hahaha!” gelaknya memenuhi ruang bilik. Aku hanya tersenyum kelat sambil mengunyah makanan.

”Kau tak buat bisnes bengkel.” selamba aku membalas sambil menghabiskan karipap terakhir. Ketawa Jais terhenti secara tiba-tiba. Dia terdiam. Masakan bisnes bengkel pun nak pakai khidmat pembunuh upahan macam aku. Setelah beberapa ketika, ketawa Jais terburai lagi. ”Pandai kau, Husin. Pandaiii..haha..mestilah core bisnes aku bukan bengkel. Jom kita berjalan-jalan sebentar.”

Jais pantas menggeliat dan menepuk bahuku. Aku meneguk sekaligus air oren yang masih bersisa lalu mengikuti Jais. Kudin mengekori aku dari belakang. Kami melangkah ke bilik-bilik yang terletak di bahagian belakang. Seorang pemuda gempal menghulurkan penutup hidung N95 kepada kami lalu membuka pintu besi sebuah bilik. Dalam bilik yang kelihatan seperti makmal kimia itu, dua orang yang berpakaian perlindungan penuh sedang leka menggaul serbuk putih. Kelihatan peralatan di situ agak canggih juga. Lengkap dengan segala radas seperti yang kulihat di mana-mana makmal. Seorang daripada mereka sedang mengendalikan mesin pembuat pil. Butiran pil putih jatuh bertaburan dalam bekas khas. Jais menepuk bahuku dan membuat isyarat supaya keluar.

”Sekarang, itulah bisnes aku. Pil Eramin 5. Memang tengah hot sekarang. Budak-budak muda suka. Tapi biasalah nak cari makan, ada aje yang kacau daun. Sebab tu aku jemput kau datang ke sini. Kawan aku di Narathiwat bagitahu aku, kau antara yang top sekarang ni.” Jais baru mendedahkan bisnesnya. Kalau dia tak dedahkan pun, aku boleh tahu juga.

”Aku buat kerja biasa aje. Ramai lagi lebih top dari aku. Cari makan, bos.” Aku mula memanggilnya bos. Aku merendah diri walaupun selama 5 tahun aku masih lagi tidak berjaya ditangkap polis Thai. Jais hanya ketawa sambil menepuk-nepuk bahuku.

”Kalau kau nak perempuan, bisa diatur. Mau?” Jais menawarkan perkhidmatan sampingan pula.

”Sorry. Aku tak main perempuan.” Ringkas aku menjawab.

”OK. Make yourself at home! “ Pesan Jais.

Kudin memberi isyarat padaku supaya mengikutnya turun ke tingkat bawah. Jais berlenggang ke biliknya tadi sambil bersiul-siul kecil. Aku mengikuti Kudin menuju ke kereta Wira tadi yang diparking di pintu masuk. Aku berjalan melepasi beberapa kereta yang sedang dibaiki. Memang betul-betul dibaiki. Bisnes bengkel untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Dua orang jaga bengkel beruniform kuning melambai-lambai dari pos pengawal kepada Kudin selepas kereta Wira melintasi mereka. Aku tersengih sendirian. Bengkel yang dilihat dari luar tidak mencurigakan. Selamat.

Kami melalui perkampungan nelayan Melayu. Jalannya agak berselirat tapi masih mampu aku agak kedudukan aku berdasarkan kedudukan sungai yang sentiasa kelihatan. Selepas 5 minit, sampailah kami ke sebuah pangkalan bot di tepi sungai Terengganu. Tiga buah vesel penangkap ikan laut dalam sedang berlabuh di situ. Di belakang pangkalan ada sebuah rumah batu setingkat yang sederhana besarnya. Untuk pergi ke rumah itu, mesti berjalan kaki melalui pangkalan bot itu. Seorang nelayan tua yang asyik menjahit pukatnya di pangkalan itu menyapa Kudin yang sedang memikul bagasiku. Mereka berborak sebentar. Kemudian Kudin berlalu dan membuka kunci rumah itu lalu meletakkan bagasi ke dalam rumah.

”Ni dia tempat tinggal sementara kau di sini. Apa-apa hal, gunakan telefon ini. Malam ini aku datang lagi.”. Kudin menyerahkan sebuah telefon Nokia dan kunci rumah kepadaku. Lepas itu, dia terus bergegas ke keretanya. Nelayan tadi masih tidak berganjak dari pukatnya, tetapi melambai-lambai pula padaku. Aku membalasnya lalu menutup pintu dan menguncinya. Rumah itu ada dua bilik tidur, sebuah dapur dan ruang tamu. Juga dilengkapi tandas dan penghawa dingin. Perabot juga lengkap. Berdasarkan bau rumah, aku pasti ia baru siap dibina. Aku membuka tingkap seluas luasnya. Membiarkan bayu sungai yang agak sejuk menerobos masuk ke bilik. Tak perlu penghawa dingin pun. Suasana yang sunyi hanya ditemani bunyi deruman bot yang berulang alik melalui sungai itu. Aku mencapai beg sandangku lalu mengeluarkan sepucuk pistol Glock 9mm yang sentiasa menjadi peneman setia. Di dalamnya ada 12 biji peluru. Ku selit pistol di celah bantal. Baru pukul 3 petang. Kepenatan menaiki bas dari Tumpat semenjak semalam yang amat terasa hanya memaksa aku untuk tidur sahaja sekarang.