Wednesday, September 2, 2009

PERMINTAAN AYU

Aku agak lama berkhidmat sebagai pemandu teksi. Hampir 10 tahun selepas menamatkan perkhidmatan sebagai tentera berpangkat Koperal. Selain wang pencen tentera yang kuterima setiap bulan, pekerjaan ini sedikit sebanyak dapatlah menampung kehidupan aku sekeluarga seramai 4 orang di ibu kota ni.
Aku melihat jam. Menunjukkan pukul 1 malam. Semenjak pukul 10 malam tadi aku asyik mengelamun menunggu pelanggan yang mahu dihantar pulang dari stesen teksi ini. Pelanggan terakhir ialah pukul 10 tadi. Kiranya hampir 3 jam aku menahan mengantuk sambil menghisap rokok. Tak apalah. Memang adat kerja begini. Sabar sajalah. Barangkali nanti ada pelanggan yang kebetulan naik bas larut malam yang baru sampai di bandar ini. Selalu juga berlaku begitu. Biasanya, dapat jugalah rezekiku tengah-tengah malam sebelum ini. Paling lambat pun pukul 3 pagi.
Hawa sejuk malam mula terasa. Aku menaikkan tingkap sehingga hampir tertutup sepenuhnya. Tinggal sedikit lagi ruang tingkap kubiarkan, ngam-ngam untuk kemasukan udara pernafasan. Ah. Kalau tak ada pelanggan setengah jam lagi, aku balik ke rumah sajalah. Malam ni sejuk betul. Tak tertahan aku. Jaket tertinggal di rumah. Ingatkan hujan nak turun, tetapi awan tebal dan guruh tak ada pula. Aku memandang ke luar tingkap. Suasana stesen teksi itu suram bermandikan beberapa mentol kuning yang menerangi 3 buah teksi yang masih tersadai. Salah sebuah teksi itu adalah teksi aku. 2 orang lagi pemandu teksi, Talib dan Adan yang merupakan kawan karibku sudah pergi makan bersama pengawal stesen itu yang bernama Ajis, di kedai mamak berhampiran. Tinggallah aku keseorangan. Bosan. Aku lantas mencapai suis radio untuk mendengar sebarang lagu. Aku merebahkan kusyen sambil memejamkan mata.
Kuak! Pintu belakang teksiku tiba-tiba dibuka orang. Aku segera berpaling sambil menaikkan kusyen kembali. Ha, datangpun pelanggan yang ditunggu. Seorang perempuan muda terus masuk, menghenyak punggungnya dengan kasar dan menutup pintu dengan kasar juga. Aku memandang melalui cermin pandang belakang. Anggun juga. Rasanya mengikuti perkembangan trend berpakaian sekarang. Tapi, aku pelik kerana tengah-tengah malam ini ada juga perempuan berjalan sorang-sorang dalam bandar mencari teksi. Memang berisiko tinggi. Nasib baik penagih dadah, penyangak tak nampak. Kalau tidak, habis perempuan ini dikerjakan mereka.
”Bang...hantar saya ke Taman Anggerik 2 ya...tolong...tolong cepat sikit...saya..ada urusan...penting...”. tersekat-sekat suara perempuan itu memberitahu destinasinya. Bunyinya macam baru lepas berlari 100 meter saja. ”OK cik...”. Aku mengiyakan. Inilah pelanggan terakhirku sebelum aku balik ke rumah. Jadilah tu.
Aku memandu dengan sederhana. 60kmj sudah mencukupi kerana jaraknya dalam 5km saja. Dekat. Lagipun apa yang hendak dikejarkan. Trafik sangat lengang. Aku pun mengantuk juga. Tiba-tiba kusyen yang aku duduki itu ditampar perempuan itu.”PAP!!”. Tamparan itu taklah kuat sangat. Tapi, cukup untuk membuatkan aku terkejut.
”Bang! Tolong pecut teksi abang sekarang. Saya dah tak ada masa ni!!”. Ringkas saja permintaan perempuan itu. Aku terus melajukan teksi sampai 120kmj. Hati pelanggan kena dijaga. Mungkin serius hal di rumahnya, aku mengagak. Aku malas hendak masuk campur.
Sekejap saja sudah sampai di Taman Anggerik 2. Aku bertanyakan nombor rumahnya. ”Rumah Ayu nombor 44, blok tengah...”. Lemah saja balasannya. Tak kasar seperti tadi. Aku menuju ke rumah berkenaan. Tiada masalah kerana aku sudah biasa menghantar penumpang di kawasan ini. Hampir sampai, dalam selang beberapa rumah lagi, tiba-tiba aku mendengar bisikan Ayu yang begitu hampir dengan telingaku.
” Tolong selamatkan Ayu...bang”. bunyinya begitu hampir, sayu dan jelas. Terperanjat aku. Lantas aku menoleh ke belakang. Apa? Tiada langsung kelibat Ayu di kerusi belakang! Darahku berderau. Apa dah jadi ni? Mengigaukah aku atau...
Aku terus menekan brek dengan kuat. Berasap tayar teksiku. Berhenti betul-betul depan rumah 44. Tiada satupun kereta mahupun manusia yang kelihatan di situ. Terus aku keluar dari teksi sambil menekan dada menahan debar. Aku bingung. Adakah aku mengigau sampai ke sini? Aku menggaru kepala yang tak gatal.
Tiba-tiba terdengar derapan tapak kaki yang pantas dari belakang, bunyinya seperti menuju ke arahku . Aku menyedarinya lalu berpusing ke belakang. Seorang lelaki tidak berbaju dan berlumuran darah cuba menghayunkan parang yang masih berjejeran darah ke arahku. Tetakan lelaki itu tidak mengenai sasaran kerana aku sempat mengelaknya. Dia hanya menetak angin. Pengalaman bertahun-tahun bertempur di alam tentera banyak membantu aku supaya tidak cepat panik. Sekali lagi dicubanya menetak aku lagi. Tetapi kali ini tetakan lelaki itu tersangkut pada dahan pokok di belakang aku. Dia gagal mencabut parang dari pokok. Lantas aku menghadiahkan beberapa tumbukan padu pada belakang tengkuk lelaki itu. Dia langsung rebah dan pengsan di situ juga. Parangnya aku sembunyikan jauh sedikit jauh dari genggamannya. Sekadar untuk mengelak bencana berulang.
Aku merasakan sesuatu tak kena. Aku berlari ke arah rumah 44. Masuk sahaja rumah itu, aku disambut bau hamis darah. Darah berceceran di setiap sudut rumah. Bekas tapak tangan yang bertompok darah bertampal-tampal di dinding. Macam ada pergelutan yang serius. Aku mengambil langkah berjaga-jaga. Sebarang kemungkinan boleh berlaku. Aku berjalan perlahan lahan menuju ke dapur tanpa mengeluarkan sebarang bunyi tapak kasut. Pintu terbuka luas. Tiada sesiapa di situ. Lalu aku mengundur balik, kali ini hendak memeriksa bilik pula. Sifat ingin tahuku menguasai keadaan.
Kebetulan, pintu master bedroom terkuak sedikit. Aku mengintai di sebalik langsir. Kelihatan seorang lelaki asyik menyelongkar almari. Aku terpandang sepasang kaki yang terbujur tapi terlindung di sebalik katil. Apa yang mengejutkan, kaki itu dibasahi darah dan tidak langsung bergerak. Segala persoalan kini hampir terjawab. Aku menendang pintu bilik itu. Lelaki itu berpaling dan kelihatan terkejut dengan kehadiranku. Juga tidak berbaju dan berlumuran darah sambil memegang beberapa rantai emas. Rupanya seperti kebingungan. Barangkali terkejut dengan kehadiranku, bukannya kawannya.
”Brengsek!!! Mampus lo!!” Sebilah pisau Rambo diacukan ke arahku. Aku mengelak tikaman sekaligus membaling tubuh kurus itu ke dinding. Dia tahu dia bukan tandinganku tetapi dia masih berdegil. Cuba ditikam lagi aku. Kali ini aku tidak memberi peluang. Kutangkap tangannya, kukilas sikunya ke belakang untuk mematahkan lengannya. Berderap bunyinya disusuli raungan panjang. Pisau Rambo sudah jatuh di lantai, aku kuis jauh-jauh dengan kaki. Ku pukul juga ditengkuknya untuk memengsankannya. Tergolek dia di tepi dinding. Aku cuba mendekati sekujur tubuh yang terbaring dibasahi darah.
Aku beristighfar dan mengucap panjang. Sekujur tubuh wanita separuh bogel yang berlumuran darah terbujur kaku di tepi katil. Isi perutnya terburai, menandakan tikaman bertubi-tubi mengenai perutnya. Di sebalik wajah lebam dan bengkak perempuan malang itu, kuamati wajahnya. Ya Allah. Wajahnya saling tak tumpah macam Ayu, penumpang misteriku sebentar tadi. Aku tergamam seketika. Kenapa aku begitu lambat sampai? Kalau tidak, mungkin aku sempat menyelamatkan Ayu. Sambil menahan sebak, ak mencapai baju-bajunya yang berhampiran lalu aku tutup tubuh Ayu. Sekadar menutup apa yang perlu untuk menjaga kehormatan jenazahnya.
Aku mencapai beberapa utas wayar elektrik yang tergantung di dinding rumah itu lalu kuikat tangan dan kaki lelaki yang dalam bilik itu. Setelah itu, aku mengikat seorang lagi lelaki jahanam yang mula-mula menyerangku tadi. Kuikat betul-betul dia pada pokok palma depan rumah itu. Depan teksiku. Sengaja aku menyalakan lampu teksi, menyuluh mukanya sampai silau. Masih pengsan lagi rupanya. Pukulanku memang berbisa. Rasakan. Padan mukanya.
Dengan tidak berlengah, aku mendail nombor telefon balai polis berhampiran. Ketua Balai polis itu adalah kawan lamaku. Sementara menunggu kehadiran polis, aku menyeluk dompet lelaki itu. Kutatap kad pengenalannya. Sah. Tepat jangkaanku. Warga Indonesia tapi baru berusia 20 tahun. Sungguh binatang kau ni, aku menyumpah seranah. Mahu aku bunuh saja bajingan dua ekor ni tapi fikiran rasional aku lebih dominan menguasai aku. Biarlah undang-undang lebih berhak menentukannya.
Selepas hampir 10 minit kemudian, tiga buah kereta peronda polis beserta sebuah trak Black Maria hitam muncul. Aku menunjukkan kepada polis kedua-dua lelaki yang masih pengsan itu beserta senjata mereka. Rupanya ada lagi peralatan yang dapat dijumpai pihak polis seperti peralatan mengumpil jeriji rumah yang ditinggalkan di dapur. Aku hanya tercegat di luar memerhatikan anggota polis menjalankan kerja siasatan tapak jenayah. Segala senjata dan bukti lain dimasukkan dalam plastik khas. Jurukamera polis sibuk mengambil gambar. Suasana suram bertukar sebaliknya kerana sinaran lampu flash kamera. Kedua-dua warga Indonesia itu dibangunkan secara kasar lalu digari sambil didudukkan di atas rumput di tepi longkang dengan diawasi dua polis bersenjata lengkap. Mereka terpinga-pinga. Pucat betul muka mereka.
Beberapa pemuda tempatan yang kebetulan lalu di jalan itu bertanya sesama sendiri melihat simbahan lampu biru polis yang berkelipan menerangi kawasan sekitar. Rupanya beberapa penghuni berdekatan sudah menyedari kehadiran polis tetapi tidak berani turun berhampiran. Sekadar mengintai di sebalik tingkap. Kulihat jam, sudah hampir 3 pagi. Siasatan masih berterusan. Seorang anggota berpangkat Lans Koperal menawarkan segelas kopi dan sebungkus roti padaku. Aku tak menolak. Lapar pun ada. Tapi seleraku tumpul setelah teringatkan apa kulihat terjadi pada Ayu.
Aku ada seorang anak perempuan. Kini sedang melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam. Mungkin anakku sebaya Ayu. Aku bimbang dengan peningkatan kes kekejaman ke atas wanita yang semakin menjadi-jadi sekarang. Hari ini giliran Ayu yang terkena. Esok lusa, siapa yang tahu? Ahh...kebimbangan mengisi benak hatiku. Aku tak dapat membayangkan apa yang dirasakan keluarga Ayu jika mendapat berita ini. Moga moga anakku terpelihara dari sebarang kejadian yang tak diingini.
Sebuah kereta Hyundai hitam membrek secara tiba-tiba di hadapan rumah jiran Ayu. Hampir-hampir terlanggar seorang anggota polis yang cuba mencari bukti di luar rumah. Tanpa menutup pintu keretanya, seorang lelaki muda berlari-lari anak ke arah rumah itu dan cuba melepasi garisan kuning yang dipasang polis untuk mencegah kemasukan pihak tak berkenaan ke dalam kawasan kes. Lelaki itu berjaya disekat dari memasuki rumah Ayu oleh dua orang polis yang berada berhampiran. Hampir menangis dan panik, lelaki itu cuba berkeras untuk masuk juga. Lebih memburukkan keadaan setelah dia terlihat kesan darah yang banyak terpalit pada langsir dan lantai. ”Ayu!! Ayu!!” jeritnya berulang kali sehingga hampir hilang suara. Tak lama kemudian, dia seakan tidak bertenaga lalu dengan mudahnya dua polis itu membawanya sedikit jauh dari rumah Ayu. Aku membantu membawanya ke dalam teksi aku. Seorang anggota polis meminta tolong aku untuk menenangkan lelaki ini untuk seketika. Aku cuba mengagak hubungannya dengan Ayu.
Aku mengurut-ngurut belakangnya. Nafasnya turun naik, mendesah. Tangannya terketar-ketar. Seorang polis membantu aku memerhatikan lelaki ini. Tiba-tiba dia mencekak bajuku.
”Apa dah berlaku pada Ayu, baik ko cakappp...”. Aku menyuruhnya bertenang. Selama beberapa ketika dia memegang bajuku tanpa berkedip mata, aku menerangkan secara ringkas apa yang berlaku. Tidak secara sepenuhnya. Tapi cukup jelas untuk difahami. Tangannya terketar-ketar lalu dilepaskan kolar bajuku. Terus dia keluar dari teksiku tetapi tidak pergi jauh mana. Dia hanya terduduk di atas tar sambil terhenggut henggut menangis.
Matanya meliar mencari sesuatu. Dia terpandang kedua-dua penjenayah itu. Langsung dia berlari mendapatkan penjenayah itu. Beberapa tendangan dapat dilepaskan lelaki itu ke atas kepala penjenayah yang tak berdaya dan bergari itu sebelum dihalang oleh aku dan seorang polis tadi. Melepaskan geram agaknya. Aku memaut badannya dengan erat, mengelakkan dia mengamuk lagi. Aku memapah semula dia masuk ke dalam teksiku lalu kuberikan air mineral. Diteguknya dengan rakus. Barulah kelihatan sedikit tenang berbanding tadi. Dia mula membuka mulut.
Menurutnya, dia adalah Sudin, abang kepada Ayu. Tinggal bersama isterinya di taman perumahan lain yang tidak jauh dari sini. Malam ini sepatutnya dia mengambil Ayu untuk bersama-sama balik ke kampung mereka di Kedah pada pukul 8 pagi nanti. Ayu tinggal bersama-sama 3 orang kawannya tetapi mungkin semua kawannya bekerja syif malam. Tinggallah Ayu seorang diri di rumah ini.
Sudin tidak mampu menghabiskan perbualannya. Tidak mampu menahan sebak. Aku menepuk bahunya perlahan lahan. Aku mencapai handphone, lalu menghubungi isteriku. Kuceritakan bahawa aku mungkin balik ke rumah lambat keesokan harinya. Dia mengerti. Selama ini pun aku selalu balik tak menentu. Asalkan memberitahunya dulu, tak jadi masalah.
Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Sudin masih mengelamun dalam teksiku. Aku menawarkannya rokok. Langsung tak diendahkan. Telefonnya berdering beberapa kali. Lambat laun, diangkatnya juga. Dijawabnya acuh tak acuh. Daripada isterinya. Menanyakan ke mana perginya Sudin sampai tak balik ke rumah. Sudin membalas bahawa dia ada kerja yang sibuk sebentar. Lalu dimatikan telefon.
Aku memandang ke arah rumah Ayu. Mayat Ayu yang berbungkus plastik hitam segera diusung ke dalam trak polis. Sudin segera berlari ke arah mayat Ayu, cuba untuk membukanya tetapi dihalang polis. Tetapi polis mengizinkannya menyertai trak itu ke hospital. Kedua-dua penjenayah itu langsung disumbat ke dalam kereta peronda. Merayu-rayu dilepaskan. Baru aku perasan terdapat dua orang wartawan yang sibuk melakukan liputan. Sempat juga diambil gambar semasa mayat Ayu diusung keluar. Beberapa jiran tetangga mula memenuhi kawasan persekitaran. Hingar bingar jadinya. Tak kurang juga menangis.
Aku dikehendaki mengikuti polis ke balai untuk membantu siasatan. Juga menjadi saksi penting untuk mendakwa kedua-dua warga Indonesia itu. Aku menerima tanggungjawab itu demi menegakkan pembelaan ke atas Ayu, ‘pelangganku’...

No comments:

Post a Comment