Aku terbangun. Jam di tanganku menunjukkan 6.30 pagi. Deruman enjin bot nelayan yang baru hendak turun ke laut menyebabkan tidurku terganggu. Aku bingkas bangun dan mengamalkan sedikit senaman ringan. Tidurku aman malam tadi. Tidak seperti di Bangkok semasa aku memburu ketua pengedar dadah di sana. Setiap masa berdepan ancaman serangan balas. Tiba-tiba kedengaran seperti bunyi batu dibaling ke atas bumbung rumah. Aku menanggalkan perangkap di tingkap lalu menjenguk ke luar. Nelayan tua semalam melambai-lambai sambil menunjuk sesuatu ke arah pintu rumah aku. Apabila aku membuka pintu, ada mangkuk tingkat lagi. Kali ini, nasi lemak pula. Juga aku habiskan kerana lapar. Hairan juga kenapa orang tua itu tidak mengetuk sendiri pintu rumah? Adakah kerana dia tahu mengenai perangkap aku? Ah, mustahil.
Aku menghubungi Kudin. Aku meminta dihantar ke bandar Kuala Terengganu untuk meninjau lokasi pasar malam Tanjung. Tidak lama kemudian, Kudin sampai. Sampai di sana, aku dan Kudin berjalan kaki di kawasan Tanjung. Aku cuba membuat gambaran mental bagaimana kejadian malam ini akan berlaku. Bukan aku tidak biasa dengan prosedur ini. Cuma aku cuba mengagak apa yang akan berlaku.
”Balai polis di tengah pusat bandar. Kalau apa-apa berlaku di sini, dalam masa 2 minit polis boleh sampai. Jadi, escape plan kau mesti tak lebih 2 minit. Korang kena keluar dari garisan jalan lingkaran bandar dalam masa tu.”
“Kalau aku ade masalah nak keluar dari bandar, macam mana?” Aku cuba mencari cara alternatif. Aku lantas mengeluarkan lipatan peta bandar dari kocek kemeja.
Sambil kami berjalan ke arah pinggir sungai, Kudin menyalakan rokoknya. “ Kalau ade masalah, sungai ini boleh tolong. Kau faham kan?”
Aku mengangguk. Pengalaman lepasku akan digunakan sebaik mungkin. Sesukar manapun, mesti ada jalan. Selepas itu, kami singgah di restoran untuk makan tengahari. Pukul 12 tengahari, Kudin terpaksa menghantar aku pulang kerana ada urusan penting, katanya.
Aku mengeluarkan pistol revolver dari dalam briefcase. Dengan 6 butir peluru yang diisi dalam semua lubang peluru beserta silencer sekali, aku memasukkannya ke dalam beg sandangku. Hutan bakau yang belum diusik pembangunan yang begitu padat di sekeliling rumah menjadi tempat sesuai untuk menguji pistol ini. Aku meredah hutan yang agak kering kerana air surut pada masa ini. Selut separas lutut menyukarkan pergerakan aku. Kera yang saling sahut menyahut tidak aku endahkan. Tapi aku lebih berhati-hati memegang dahan bakau yang bergantungan supaya tidak terserempak dengan ular katam tebu yang cukup berbisa. Sudah ada rakanku yang mati dipatuk ular ini di Narathiwat dulu. Setelah agak jauh menjelajah hutan bakau, aku yakin tiada orang di situ. Aku meletakkan beberapa botol kaca di atas dahan, setiap satunya pada kedudukan yang berbeza. Setelah bersedia, aku membidik satu botol yang berjarak 20 meter. ”CHUPP!” satu das tembakan yang barangkali hanya aku sahaja yang mendengarnya dilepaskan menyebabkan botol pecah berderai. Ini bermakna pistol dan silencer berfungsi dengan baik. Aku membidik lagi botol yang berjarak 15 meter. Juga lancar. Akhirnya semua 6 butir peluru kuhabiskan. Pistol Glock juga kucuba. Semuanya dalam keadaan baik. Kerjaku tidak membenarkan sebarang kesilapan mahupun kecuaian untuk berlaku. Jika tidak, habislah aku.
Aku mengemaskan peralatanku lalu melangkah ke arah rumah. Jam menunjukkan pukul 3 petang. Hampir 5 jam lagi untuk operasi itu. Sampainya di rumah aku membersihkan diri dan juga senjata dari sebarang kekotoran. Setelah siap, aku bertafakur di beranda belakang.
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment